Almerez FC juara Liga Futsal U13 Ar Rawda



Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kejohanan Liga Futsal Bawah 13 Tahun Ar Rawda





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 10 Mei. - Almerez FC menang bergaya setelah menewaskan Panchor Murai FC dengan jaringan 9 - 0 untuk mengungguli  kedudukan tangga teratas liga sekali gus mengesahkan kejuaraan pada Kejohanan Liga Futsal Bawah 13 Tahun (U13) Ar Rawda bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), Berakas.


Sekalipun Dash Juniors berjaya mengecewakan BSRC FT dengan jaringan 4 - 0, pasukan berkenaan terpaksa akur sekadar bergelar selaku pasukan naib juara setelah dipisahkan dengan jumlah jaringan sekali gus mengumpul 9 mata bersama dengan Almerez FC.


Sementara itu, Al-Mujaahidun FA pula menduduki tempat ketiga selepas mengalahkan Ar Rawda FC dengan jaringan 5 -1 dan mengutip 10 mata.  


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat yang juga menyampaikan piala dan pingat kepada pemenang kejohanan.


Yang Berhormat juga menyampaikan hadiah kepada dua pemain terbaik kejohanan yang disandang oleh Awang Md. Zainul Ashraff daripada Al-Mujaahidun FA dan Awang Md. Uwais Ashsafiee Mohd. Salimi daripada Ar Rawda FC.  Sementara itu pemain daripada BSRC FT, iaitu Awang Muhd. Raffee Awwadi Mohd. Saiful Rizal yang mengumpul sembilan jaringan menerima Anugerah Kasut Emas.


Kejohanan Liga Futsal U13 berkenaan disasarkan bagi mencungkil bakat para pemain muda bagi membentuk pembangunan  sukan futsal di negara ini di samping memberi peluang kepada pemain peringkat akar umbi untuk menimba pengalaman peringkat awal sekali gus untuk meningkatkan tahap keyakinan para pemain muda.


Close